1) Ada hati
Maksud: Ada kemahuan melakukan atau menyukai sesuatu.
Ayat : Kakak ada hati untuk membeli kereta baru.
2) Ambil hati
Maksud : Mudah tersinggung dengan sesuatu perkara atau percakapan.
Ayat : "Janganlah awak ambil hati atas percakapannya tadi, "kata Azli kepada rakannya.
3) Bawa hati
Maksud: Merajuk.
Ayat : Asyraf telah ke Perlis membawa hati setelah diusir oleh abangnya.
4) Beku hati
Maksud: tiada keinginan
Ayat: Saya beku hati untuk ke rumahnya lagi selepas peristiwa itu.
5) Bengkak hati
Maksud: Kecewa
Ayat: Anak Pak Uteh bengkak hati apabila dituduh mencuri di kedai Pak Man.
6) Berat hati
Maksud: Sukar membuat keputusan
Ayat: Mak Cik Leha berat hati untuk melepaskan anak gadisnya ke luar negara.
7) Besar hati
Maksud: Sangat gembira, bangga
Ayat: Encik Yusof berasa besar hati apabila anaknya berjaya mendapat tempat pertama dalam
pertandingan itu.
8) Bintang hati
Maksud: Kekasih
Ayat: Norlela menjadi bintang hati Ahmad semenjak dahulu lagi.
9) Buah hati
Maksud: Orang yang dikasihi.
Ayat: Ismail jarang dimarahi kerana dia buah hati ibunya.
10) Bulat hati
Maksud: Bertekad
Ayat : Rosli bulat hati untuk menyunting gadis idamannya.
11) Busuk hati
Maksud: Hati yang jahat.
Ayat : Saya diberitahu bahawa dialah yang busuk hati.
12) Buta hati
Maksud: Tak dapat menerima nasihat.
Ayat: Arman buta hati kerana masih melakukan perkara yang ditegah.
13) Gelap hati
Maksud: Sukar untuk menerima pelajaran.
Ayat : Pak Aziz risau akan masa depan anaknya yang gelap hati dalam pelajaran.
14) Geli hati
Maksud: Rasa hendak ketawa
Ayat : Penonton berasa geli hati melihat telatah pelawak di atas pentas.
15) Gerak hati
Maksud: Rasa yang lahir dari dalam hati.
Ayat : Gerak hati Zaimah yang mengesyaki suaminya curang itu benar-benar berlaku.
16) Hancur hati
Maksud : Sangat sedih
Ayat : Hancur hati Pak Leman mendengar berita anaknya ditangkap oleh pihak polis.
17) Hati batu
Maksud : Degil
Ayat : Sikap hati batu Shafiq memeningkan kepala ibunya.
18) Hati emas
Maksud : Baik hati
Ayat : Walaupun tidak berharta tetapi Siti Aminah berhati emas.
19) Hati perut
Maksud : Perasaan seseorang.
Ayat : Dia dianggap tiada hati perut kerana sanggup membunuh anak kucing itu.
20) Hati tikus
Maksud : Penakut
Ayat : Adik tidak akan tidur di dalam bilik seorang diri kerana dia hati tikus.
21) Hati tungau
Maksud : Penakut
Ayat : Cakap saja besar, sebenarnya dia hati tungau.
22) Iri hati
Maksud : Cemburu atau dengki
Ayat : Sharmin berasa iri hati dengan kepandaian Hasmah.
23) Isi hati
Maksud : Perasaan dalam hati
Ayat : Aiman telah meluahkan isi hati kepada ibunya untuk melamar Shaza.
24) Jatuh hati
Maksud : Rasa suka kepada seseorang.
Ayat : Firdaus jatuh hati kepada Farida.
25) Jauh hati
Maksud : Merajuk
Sani jauh hati apabila rakan-rakannya tidak mahu berkawan dengannya.
26) Kaya hati
Maksud : Pemurah atau suka memberi pertolongan.
Ayat : Walaupun Ali miskin, namun dia kaya hati.
27) Kecil hati
Maksud : Tersinggung atau merajuk
Ayat : Janganlah berasa kecil hati dengan sikapnya yang suka memarahi orang lain.
28) Keras hati
Maksud : Tidak mahu mengalah.
Ayat : Walaupun Intan sedar kesilapannya namun, dia masih keras hati untuk menegakkan pendapatnya.
29) Lembut hati
Maksud : Penyayang
Ayat : Suami saya seorang yang lembut hati.
30) Lubuk Hati
Maksud : Dalam hati
Ayat : Segala kesedihannya tersimpan di lubuk hati tanpa diceritakan kepada orang lain.
31) Luka hati
Maksud : Sakit hati
Ayat : Luka hati saya mendengar kata-kata kesatnya.
32) Lurus hati
Maksud : Jujur
Ayat : Umaira seorang yang lurus hati kerana memulangkan duit yang dijumpainya.
33) Makan hati
Maksud : Berasa sedih
Ayat : Khairi makan hati apabila dipulaukan oleh rakan-rakannya.
34) Murah hati
Maksud : tidak kedekut
Ayat : Sikap murah hati Maimun disukai jiran-jirannya.
35) Panas hati
Maksud : Meradang
Ayat : Pak Osman panas hati melihat banyak lembu berkeliaran di dalam pagar rumahnya.
36) Patah hati
Maksud : Kecewa
Ayat : Razak patah hati kerana sudah empat kali pinangannya ditolak orang.
37) Pecah hati
Maksud : Kecewa
Maksud : Zack pecah hati kerana gagal dalam peperiksaan SPM.
38) Puas hati
Maksud : Rasa menyenangkan hati akibat sesuatu perkara.
Ayat : Guru besar berasa puas hati dengan peningkatan prestasi murid-murid tahun enam dalam peperiksaan UPSR.
39) Putih hati
Maksud : Jujur / amanah
Ayat : Hasnah disukai oleh majikannya kerana dia rajin dan putih hati orangnya.
40) Rendah hati
Maksud : Tidak sombong
Ayat : Walaupun Azhar seorang yang kaya tetapi dia tetap rendah hati.
41) Rosak hati
Maksud : Perasaan yang tidak menyenangkan.
Ayat : Saiful rosak hati dengan perangai tunangnya yang mengada-ngada itu.
42) Sagu hati
Maksud : Hadiah atau ganjaran
Ayat : Peserta yang gagal mendapat tempat dalam pertandingan itu akan diberikan sagu hati.
43) Sakit hati
Maksud : Rasa marah
Ayat : Ibu sakit hati melihat gelagat adik yang degil itu.
44) Sampai hati
Maksud : Sanggup melakukan sesuatu
Ayat : Puan Juriah tidak sampai hati membiarkan anak kucing itu dibasahi hujan.
45) Sejuk hati
Maksud : Berasa lega / Perasaan tenang
Ayat : Sejuk hati aku apabila mendengar mereka ingin berbaik semula.
46) Tabah hati
Maksud : Kuat semangat / Sabar menghadapi dugaan
Ayat : Puan Sarah tabah hati apabila menerima berita kematian anaknya.
47) Tahan hati
Maksud : Perasaan yang kuat / cekal
Ayat : Jika ingin berjaya kamu perlu tahan hati menghadapi ujian dan dugaan.
48) Taruh hati
Maksud : Suka pada seseorang
Ayat : Azlan taruh hati pada Azlina.
49) Terang hati
Maksud : Mudah faham
Ayat : Anak-anak yang terang hati mudah menerima apa yang dipelajari.
50) Ubat hati
Maksud : Penghibur hati
Ayat : Upin menjadi ubat hati Opah Yah ketika anak-anaknya tiada.
Terima kasih
ReplyDeleteterima kasih! useful!
ReplyDelete