1. Alas kaki : Tempat meletakkan kaki sewaktu sedang duduk.
Ayat : Kerusi itu khas untuk datuk kerana mempunyai alas kaki.
2. Angkat kaki : Meninggalkan sesuatu tempat.
Ayat : Sebelum majlis itu selesai, Ruhani terlebih dahulu angkat kaki.
3. Goyang kaki : Hidup tanpa perlu bekerja / malas bekerja.
Ayat : Dia hanya goyang kaki kerana ayahnya orang kaya.
4. Jadi kaki : Ahli kumpulan
Ayat : Farok menyesal jadi kaki kumpulan jahat itu.
5. Kaki ayam : Tidak berkasut.
Ayat : Adik suka bermain kaki ayam sahaja.
6. Kaki bangkang : Suka membantah
Ayat : Mahmud tidak diajak berbincang kerana dia kaki bangkang.
7. Kaki bangku : Tidak pandai bermain bola sepak.
Ayat : Setiap kali rakan-rakan bermain bola sepak, Razak hanya berada di tepi padang kerana dia kaki bangku.
8. Kaki bola : Suka akan permainan bola sepak.
Ayat : Ayah saya memang kaki bola kerana suka menyaksikan perlawanan bola sepak di stadium.
9. Kaki borak : Suka berbual
Ayat : Pak Tam suka duduk di kedai kopi, kerana dia kaki borak.
10. Kaki botol : Suka minum minuman keras.
Ayat : Bapa Ravi sering pulang lewat dalam keadaan mabuk kerana dia kaki botol.
11. Kaki judi : Suka berjudi
Ayat : Ramai kaki judi pergi ke China untuk berjudi.
12. Kaki kipas : Suka mengampu
Ayat : Semua rakan pejabat tahu Ah Meng ialah kaki kipas.
13. Kaki langit : Tempat laut dan langit bertemu atau ufuk.
Ayat : Saya suka melihat pemandangan kaki langit yang indah pada waktu senja.
14. Kaki lima : Kawasan laluan di hadapan kedai.
Ayat : Ramai peminta sedekah berada di kaki lima itu pada waktu petang.
15. Kaki pukul : Samseng
Ayat : Dua orang kaki pukul diburu pihak polis.
16. Patah kaki : Hilang kemudahan yang dikecapi.
Ayat : Aznan patah kaki kerana motor yang selalu digunakannya telah rosak.
17. Putih tapak kaki : Lari kerana ketakutan.
Ayat : Rosdan putih tapak kaki apabila dikejar oleh anjing garang itu.
18.Rantai kaki : Tidak boleh keluar dari rumah.
Ayat : Lelaki yang kurang waras itu telah kena rantai kaki kerana tidak dibenarkan pergi jauh.
Saya bersyukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan izinnya dapat saya meneruskan usaha murni untuk membina blog Pengajaran dan Pembelajaran bagi tajuk Simpulan Bahasa. Tiada kata secantik bahasa, tiada gambar secantik lukisan, saya mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada semua yang sudi berkunjung ke blog saya ini. Cikgu Suzana binti Yusob, D20102042257, Kump. EL-C03, KRT3013, Teknologi Maklumat Sekolah Rendah, Tajuk : SIMPULAN BAHASA.
TAK KENAL MAKA TAK CINTA
Simpulan bahasa ialah perkataan atau kelompok kata yang tertentu untuk menunjukkan sesuatu maksud yang lain daripada erti yang sebenar. Pembaca kadang kala boleh mengagak maksudnya secara spontan. Diharap murid-murid dapat belajar untuk menikmati dan menggunakan simpulan bahasa dengan luas dalam kehidupan seharian
No comments:
Post a Comment